Implikasi
kepelbagaian sosiobudaya dari aspek murid, guru, sekolah, dan kurikulum
tersirat.
Kepelbagaian sosiobudaya
akan memberi impak ataupun implikasi tersendiri kepada sesebuah organisasi.
Kepelbagaian sosiobudaya ini turut dirasai di peringkat pengurusan kelas
meliputi implikasi terhadap guru, murid dan sekolah. Kegagalan guru, murid
serta sekolah dalam menghadapi kepelbagaian sosial ini akan menggagalkan konsep
1 Malaysia yang dicanangkan oleh pucuk pimpinan negara. Hal ini kerana, sekolah
merupakan tunjang atau akar umbi kepada 1 Malaysia di mana penerapan
nilai-nilai murni dan aspirasi seperti yang termaktub dalam konsep 1 Malaysia
akan bermula di peringkat sekolah.
Sebagai
seorang guru, beliau perlulah mengajar murid-murid di sekolah tanpa mengambil
kira kelas sosial dan harus bijak mengendalikan kelas sosial yang wujud di
kelas supaya satu suasana pembelajaran yang interaktif akan terbentuk dan
pembelajaran akan menjadi menyeronokkan. Contohnya, seorang guru seharusnya
memastikan murid-muridnya ditempatkan dalam satu kumpulan murid dari pelbagai
latar belakang semasa melakukan sesuatu aktiviti kumpulan. Ini secara langsung
akan memberi peluang kepada murid-murid untuk berinteraksi antara satu sama
lain sekaligus mewujudkan pergaulan yang tidak berkelompok dan tanpa sekatan
budaya serta masyarakat. Suasana pembelajaran yang menyeronokkan akan terbentuk
dan ini dapat membantu guru mengawal persekitaran bilik darjah dengan berkesan.
Selain
itu, guru juga pandai merancang aktiviti p&p yang boleh disertai oleh semua
murid di dalam kelas dan isu yang mempunyai unsur bias kepada mana-mana jantina
mesti dielakkan supaya dapat memberi peluang pendidikan yang saksama kepada
semua murid tanpa mengira kaum dan jantina. Bagi murid yang menghadapi kecelaruan
jantina, menjadi tanggungjawab guru untuk membentuk persepsi yang positif dalam
kalangan murid supaya mereka tidak terus hidup dengan kecelaruan sedemikian.
Sebagai
seorang guru, beliau perlu menunjukkan teladan yang baik kepada murid.
Contohnya, guru datang awal ke bilik darjah, sentiasa bersikap adil dan
sentiasa berdisiplin dalam apa jua hal pun. Perkara ini akan meningkatkan rasa
hormat murid terhadap guru dan menjadikan guru sebagai idola mereka. Hubungan
guru dengan murid dapat dipereratkan lagi dan ini akan mendorong kepada p&p
yang menarik dan berkesan. Guru seharusnya tidak melengah-lengahkan waktu untuk
memulakan p&p. Masa pengajaran dapat digunakan semaksimumnya untuk
melakukan banyak aktiviti merangsangkan minda. Guru juga perlu menghormati murid
seperti orang lain, bersikap adil kepada semua, hukuman berbentuk deraan tidak
seharusnya dilaksanakan kerana menyebabkan hubungan guru dengan murid akan
renggang dan menghilangkan minat murid untuk meneruskan pembelajaran.
Seterusnya,
dari segi aspek murid pula, murid-murid perlu bersosial antara satu sama lain
dalam melakukan aktiviti bagi memastikan objektif pembelajaran dapat dicapai.
Ini dapat direalisasikan sekiranya murid dapat membuang sikap prejudis terhadap
latar belakang murid lain dan berinteraksi di antara satu sama lain.
Kepercayaan yang diamalkan oleh murid lain tidak harus dipertikaikan sesama
mereka. Aktiviti yang dijalankan juga seharusnya berupaya menyemai semangat
saling mempercayai ke dalam jiwa murid. Proses sosialisasi antara kaum tanpa
mengira anutan agama hendaklah dikembangkan supaya proses pembentukan kendiri
murid dapat dilaksanakan. Secara langsung semangat perpaduan dapat dijalin
dalam masyarakat dan seterusnya berupaya membentuk masyarakat yang toleran kea
rah memacu pembangunan negara.
Tambahan
pula, penggunaan bahasa yang standard harus diamalkan oleh murid. Unsur-unsur
dialek mengikut kaum hendaklah dielakkan. Seberapa yang terdaya murid harus
diingatkan agar sentiasa berinteraksi dengan menggunakan bahasa yang betul. Di
samping itu penggunaan laras bahasa yang tepat mestilah diamalkan dalam situasi
yang sesuai. Aktiviti yang bercorak ke arah peningkatan bahasa perlu disertai
supaya tahap penggunaan bahasa murid sentiasa bertambah. Perbendaharaan kata
yang tepat akan membantu murid mencapai kematangan sosial yang sepatutnya.
Kemahiran
komunikasi memainkan peranan penting ke arah pembentukan budaya penyayang.
Komunikasi berkesan dapat dijelmakan melalui cara bertutur, penggunaan bahasa
badan, penulisan, juga melalui penggunaan alat-alat tertentu seperti komputer,
telefon dan sebagainya. Apabila seorang guru menggunakan kemahiran
berkomunikasi terhadap muridnya, maka suasana pembelajaran yang lebih dinamik
dapat dihasilkan. Melalui cara ini, pembentukan akhlak dan penerapan
kemahiran-kemahiran tertentu dapat dilakukan dengan lebih mudah dan berkesan.
Dari segi aspek sekolah pula,
Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) diwujudkan bagi menyediakan Pendidikan
Islam kepada murid. Ia memupuk potensi murid dari segi minat, kreativiti,
sahsiah, dan kepimpinan serta menyediakan peluang melanjutkan pelajaran dalam
pelbagai bidang ilmu, dalam dan luar negara. Beberapa SMKA telah menunjukkan
prestasi yang membanggakan. Pembinaan sekolah aliran agama menunjukkan komitmen
Kementerian Pelajaran untuk menerapkan nilai-nilai kerohanian dan kepercayaan
beragama kepada murid-murid. Walaupun murid diberikan penekanan terhadap
pencapaian dalam akademik, namum begitu aspek kepercayaan dan nilai turut
diserapkan dalam pembentukan sahsiah mereka.
Sekolah-sekolah di Putrajaya dan
Cyberjaya terletak di Koridor Raya Multimedia dan sebahagiannya merupakan
Sekolah Bestari. Sekolah-sekolah ini mempunyai reka bentuk yang menarik,
infrastruktur yang lengkap dan terletak dalam kawasan yang strategic, iaitu
berhampiran dengan Kompleks Kerajaan Persekutuan. Sekolah Model Khas
menggabungkang murid sekolah rendah pada peringkat Tahap II dan murid sekolah
menengah di bawah satu bumbung. Ini merupakan konsep baru dalam menyediakan
kemudahan fizikal yang kondusif bagi murid yang berpotensi di kawasan luar
bandar seperti Sekolah Menengah Clifford Kuala Lipis (Pahang) dan Sekolah
Menengah Kebangsaan Bukit Jenun Pendang (Kedah).
Sekolah Wawasan
ditubuhkan untuk mewujudkan perpaduan dalam kalangan murid di sekolah. Sekolah
ini adalah antara sekolah yang dahulunya terasing antara satu sama lain, kini
disatukan dalam satu sistem pendidikan yang seragam. Apabila murid-murid yang
berlainan latar belakang dapat berinteraksi sejak peringkat awal persekolahan,
sudah tentu masa depan akan lahir satu generasi yang hormat dan bertoleransi di
antara satu sama lain. Oleh itu, penekanan semangat perpaduan dan integrasi
antara kaum perlu dipupuk sejak kecil iaitu dibangku sekolah rendah kerana ia
akan lebih memudahkan mereka untuk menghadapi masyarakat di masa akan datang.
Kurikulum tersirat juga
harus menggalakkan interaksi dalam kelas sosial. Aktiviti yang dijalankan
mestilah melibatkan interaksi antara kelas sosial murid. Secara langsung proses
pembentukan nilai dapat diterapkan kepada murid-murid. Penerapan kepercayaan
terhadap nilai-nilai murni juga dan guru seharusnya tidak menekankan hanya
kepada kepercayaan agama Islam sahaja. Mana-mana unsure kepercayaan lain yang
tidak bercanggah dengan hokum agama Islam boleh diterapkan kepada murid.
Pelaksanaan aktiviti
bahasa dalam kurikulum juga perlu dirancang dengan teliti. Murid akan mengambil
bahagian dalam setiap aktiviti yang dilaksanakan dan seterusnya mereka akan
mula belajar menerima serta menghormati bahasa ibunda dan dialek kaum lain.
Kurikulum tersirat juga perlu memberikan pertimbangan terhadap aspek perbezaan
antara jantina. Aktiviti yang dijalani murid haruslah diberikan kesedaran dan
ingatan terhadap batasan pergaulan dalam jantina yang berlainan.
Kurikulum tersirat merangkumi
nilai-nilai yang dibentuk oleh warga sekolah sendiri seperti amalan, prosedur,
peraturan, pertalian dan struktur di sekolah. Ianya dijalankan secara tidak
langsung seperti murid mempelajari tingkah laku baik guru, guru mempamerkan
akhlak budi pekerti, hubungan rapo di antara warga sekolah dan sebagainya.
Nilai, norma, peraturan, daya intelek dan apa juga yang dibawa di dalam
persekitaran sekolah akan memberi kesan secara tidak langsung tetapi amat
bermakna terhadap amalan hidup murid.
No comments:
Post a Comment